--------------------------------------------------------------------------------
Tekanan kemiskinan
KOTA BHARU: Akibat kemiskinan hidup, dia dan enam anak terputus bekalan makanan selama lima hari. Suaminya menagih dadah, malah lebih memeritkan nenek yang menjadi tempat bergantung meninggal dunia.
Berdasarkan faktor itu, Bahasniza Abu Bakar, 36, hilang pertimbangan apabila anaknya berusia 10 bulan tidak berhenti menangis walaupun diberi minum teh kerana kehabisan susu, mengambil bantal kecil lalu menekup mulut bayi itu sehingga mati kelemasan sebelum mencampakkan mayatnya ke dalam tali air berhampiran rumah.
Ini antara hujah dikemukakan pihak pembelaan dalam rayuan kes wanita itu yang dituduh menyebabkan kematian anak bongsunya berusia 10 bulan di Mahkamah Tinggi, semalam.
Bahasniza didakwa menyebabkan kematian bayinya, Mohamad Asyraf Noor Aswadi di rumahnya di Kampung Kubang Berulat, Gunong, Bachok pada 7 Julai lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian bayinya dengan menekup mulut menggunakan bantal kecil. Selepas anaknya mati kelemasan, mayatnya dicampak ke dalam tali air berhampiran rumah antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi hari berkenaan.
Bahasniza mengaku bersalah dijatuh hukuman penjara 10 tahun dan diarah menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 7 Julai 2007.
Tertuduh diwakili peguambela Firdaus Mohd Yusof kelihatan tenang ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Hussain menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Yaacob.
Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi, tertuduh tersedar daripada tidur apabila anak bongsunya menangis lalu pergi ke dapur membancuh susu.
Apabila menyedari susu sudah habis, dia membancuh teh dan memasukkan ke dalam botol susu lalu diberikan kepada anaknya.
Walaupun diberi minum teh, anaknya tetap menangis menyebabkan tertuduh berasa tertekan lalu mengambil bantal kecil alas kepala anaknya sebelum menutup mulut bayi itu.
Tertuduh mendapati anaknya berhenti menangis keluar dari rumah melalui pintu belakang dan mencampakkannya ke dalam tali air kira-kira 100 meter dari rumah.
Dia membuat laporan di Balai Polis Gunong memaklumkan anaknya hilang tanpa disedari mayat bayi itu ditemui terapung dan terlungkup dalam tali air terbabit.
Dalam prosiding semalam, Firdaus memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih ringan dengan membentangkan 20 hujah rayuan termasuk laporan perubatan tertuduh yang disahkan mengalami sakit jiwa oleh Hospital Permai, Johor.
“Kami yakin ini disebabkan masalah hidup dialami yang memberi tekanan dan kesan mendalam kepada tertuduh. Selain itu, suami tertuduh turut menyebabkan tekanan apabila terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Tertuduh dijaga sejak kecil oleh neneknya diibaratkan seperti ‘sudah jatuh, ditimpa tangga’ apabila neneknya meninggal dunia menyebabkannya hilang tempat bergantung.
“Malah, lima hari sebelum kejadian, tertuduh dan anak-anaknya terputus bekalan makanan akibat hidup miskin,” katanya.
Hujah itu bagaimanapun dibantah Wan Azimah yang menegaskan tertuduh perlu dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran selain jenayah dilakukan membabitkan anaknya sendiri.
Thursday, October 29, 2009
Jadikan pengajaran untuk kita
Posted by Ahmad Masri at 3:38 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment